Dikemas kini 24 November 2026
Terma Program Afiliat
Terma ini terpakai apabila anda menyertai program afiliat SoPan dan berkongsi link afiliat anda. Dengan menandatanganinya secara digital di Kelas Saya, anda bersetuju dengan semua terma di bawah.
1. Kelayakan
Program ini terbuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas yang telah membeli sekurang-kurangnya satu produk SoPan, atau yang telah diberi produk oleh kami untuk dipromosi. Kakitangan dan ahli pasukan kami tidak layak.
Komisen boleh dibayar kepada anda sendiri, atau kepada perniagaan anda yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), iaitu syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) atau enterprise. Untuk dibayar sebagai individu, anda perlu mempunyai kad pengenalan Malaysia dan akaun bank Malaysia atas nama anda sendiri. Untuk dibayar sebagai perniagaan, perniagaan itu perlu mempunyai akaun bank Malaysia atas namanya sendiri.
2. Produk yang boleh dipromosi
Anda hanya boleh mempromosi produk yang telah anda beli, atau yang telah kami beri kepada anda untuk dipromosi, dan masih anda miliki. Link untuk setiap produk itu tersedia di tab Afiliat dalam Kelas Saya. Jika anda dipulangkan wang bagi sesuatu produk, atau kami menarik balik produk yang kami beri, link produk tersebut tidak lagi memberi komisen.
Kami boleh menutup mana-mana produk daripada program afiliat pada bila-bila masa. Komisen bagi jualan sebelum itu kekal milik anda.
3. Bagaimana jualan dikira
- Jualan dikira untuk anda jika pembeli membuat pembelian dalam tempoh 30 hari selepas mengklik link anda, menggunakan pelayar yang sama.
- Jika pembeli kemudian mengklik link afiliat lain, link terakhir yang diklik mendapat jualan itu.
- Jika pembeli kemudian mengklik iklan berbayar SoPan sendiri, jualan itu tidak lagi dikira untuk mana-mana afiliat.
- Pembelian melalui link anda sendiri, atau oleh akaun, email atau nombor telefon anda, tidak layak menerima komisen.
- Jika pembeli yang datang melalui link anda kemudian membeli order bump di Kelas Saya, anda juga menerima komisen atas pembelian itu.
4. Kadar komisen
Komisen dikira atas jumlah yang dibayar oleh pembeli untuk keseluruhan pesanan, termasuk order bump dan selepas sebarang kupon, tolak sebarang bayaran balik.
- Tahap 1: 50% apabila anda menyertai.
- Tahap 2: 60% selepas jualan disahkan melalui link anda mencecah RM100.
- Tahap 3: 70% selepas jualan disahkan mencecah RM1,000, atau sebaik sahaja anda memiliki produk utama bagi 3 funnel berbeza yang telah anda beli.
Jualan disahkan ialah jualan yang telah melepasi tempoh jaminan 7 hari tanpa dipulangkan. Tahap yang dicapai tidak akan turun. Kadar baharu terpakai mulai jualan seterusnya.
5. Bila komisen dibayar, dan kenapa
Komisen bagi jualan dalam sesuatu bulan dikira pada akhir bulan tersebut dan dibayar pada hari Jumaat pertama, pada atau selepas 15 haribulan bulan berikutnya. Kami menunggu tempoh ini kerana setiap pembeli dilindungi jaminan wang dikembalikan 7 hari. Jualan yang dipulangkan dalam tempoh itu tidak layak menerima komisen, dan hari tambahan memberi masa kepada bank untuk mengesahkan bayaran pembeli.
Jika anda memerlukan bayaran lebih awal, email hello@sopan.my. Kami boleh membayar lebih awal komisen yang telah melepasi tempoh 7 hari tersebut.
Baki di bawah RM50 dibawa ke bayaran bulan berikutnya. Bayaran dibuat ke akaun bank yang anda daftarkan, dan slip komisen dihantar kepada anda.
6. Bayaran balik dan chargeback
Jika sesuatu pesanan dipulangkan atau dipertikaikan sebelum komisen dibayar, komisen itu dibatalkan atau dikurangkan. Jika ia berlaku selepas komisen dibayar, jumlah itu ditolak daripada bayaran anda yang seterusnya.
7. Maklumat bayaran
Sebelum bayaran pertama, anda perlu menghantar butiran akaun bank, dan nama pemegang akaun mestilah sama dengan nama penerima. Akaun bersama tidak diterima.
- Jika dibayar sebagai individu: nama penuh dan nombor kad pengenalan anda, serta gambar hadapan kad pengenalan. Akaun bank mestilah atas nama anda.
- Jika dibayar sebagai syarikat (Sdn Bhd): nama syarikat, nombor pendaftaran SSM dan salinan sijil SSM. Akaun bank mestilah atas nama syarikat.
- Jika dibayar sebagai enterprise: nama perniagaan, nombor pendaftaran SSM dan salinan sijil SSM, serta nama penuh, nombor kad pengenalan dan gambar hadapan kad pengenalan pemiliknya. Akaun bank mestilah atas nama perniagaan.
Perniagaan yang dibayar mestilah perniagaan anda sendiri, dan anda bertanggungjawab memastikan ia boleh menerima komisen ini.
Maklumat ini disimpan dengan selamat, hanya boleh dilihat oleh pemilik SoPan, dan digunakan untuk membuat bayaran serta rekod cukai, seperti dalam notis privasi kami.
8. Perkara yang tidak dibenarkan
- Spam, termasuk mesej yang tidak diminta dan komen berulang.
- Ulasan palsu, atau dakwaan pendapatan, hasil bacaan, fatwa atau hukum agama yang tidak dibuat oleh sales page kami.
- Membida nama brand kami dalam iklan carian, atau menamakan page, akaun iklan atau laman anda seperti brand kami.
- Menawarkan diskaun atau kupon yang tidak kami tawarkan.
- Memasukkan link anda tanpa klik sebenar pembeli (cookie stuffing), atau sebarang cara lain untuk mendapat komisen secara tidak jujur.
Kami boleh menggantung akaun afiliat dan menahan komisen yang berkaitan jika terma ini dilanggar.
9. Cukai
Komisen ialah pendapatan anda. Anda bertanggungjawab mengisytiharkannya bagi tujuan cukai pendapatan. Kami boleh melaporkan bayaran kepada pihak berkuasa atau memotong cukai apabila diwajibkan oleh undang-undang.
10. Penggantungan, penamatan dan perubahan
Anda boleh berhenti pada bila-bila masa dengan memaklumkan kami. Komisen yang telah disahkan tetap dibayar mengikut jadual biasa.
Kami akan memaklumkan sebarang perubahan kepada terma ini sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal. Anda akan diminta menandatangani versi baharu.
Akaun afiliat boleh dipindahkan kepada orang lain hanya dengan persetujuan bertulis kedua-dua pihak dan kelulusan kami.
11. Undang-undang
Terma ini tertakluk kepada undang-undang Malaysia.